SLIM RIVER (Perak): Penduduk di sekitar daerah Slim River kini hidup dalam kebimbangan berikutan menularnya penyakit berjangkit yang digelar 'demam sendi' di kalangan penduduk tempatan sejak beberapa bulan lalu.
Setakat ini, lebih 50 kes dilaporkan dengan kesan awal penghidap berasa lemah seluruh anggota badan, suhu badan meningkat mendadak, hilang selera makan, timbul ruam merah di badan diikuti sakit teruk di bahagian sendi serta sukar bergerak.
Kawasan paling teruk terjejas ialah Kampung Rasau apabila 25 kes dilaporkan dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan berusia 20 tahun ke atas.
Tinjauan yang dilakukan di kampung berkenaan kelmarin mendapati 10 mangsa yang masih mengalami demam itu berada pada tahap kritikal, termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.
Para doktor yang merawat semua mangsa demam berkenaan bagaimanapun gagal mengenal pasti penyakit sebenar yang dihidapi mereka biarpun selepas melakukan ujian darah.
Seorang doktor klinik swasta di pekan Slim River yang enggan namanya disiarkan berkata:
'Hampir setiap hari ada penduduk daerah ini terutamanya dari Kampung Rasau datang ke klinik saya.
'Kebanyakan yang datang berada pada tahap kritikal dan terpaksa dipapah.
'Simptom penyakit demam sendi ini hampir sama dengan demam campak dan denggi.
'Ia berlarutan antara empat hari hingga dua minggu.
'Saya kategorikan penyakit ini agak serius kerana seseorang yang mengalaminya tidak dapat menjalankan kegiatan harian seperti biasa.
'Penyakit ini menyebabkan sendi penghidapnya sakit teruk dan jika ia menyerang bahagian sendi lutut atau pergelangan kaki, seseorang itu tidak dapat bergerak dan terpaksa mengengsot.'
Beliau berkata, demam itu dipercayai merebak melalui nyamuk.
Sementara itu, Ketua Kampung Rasau, Encik Mohd Junit Zakaria, 64 tahun, berkata pada peringkat awal penduduk beranggapan ia hanya demam biasa tetapi apabila semakin ramai diserang penyakit itu, penduduk mula cemas. -- BMM.