BARU-BARU ini, ramai pembeli berpendapat mereka mendapat harga yang terbaik dan paling rendah ketika membeli kereta baru dan ramai juga sudah lebih pandai bertanya.
Tetapi benarkah semua ini terjadi dan pembeli semua gembira dengan kereta baru dan harga yang mereka dapat?
Ramai yang selalu terpaksa mengambil kereta tetapi terdapat perbezaan perlengkapan dan bayaran yang tidak terduga.
Namun, mereka tidak akan menceritakan hal ini semua kerana berasa malu.
Apa yang penting, adakah mereka belajar daripada kesilapan mereka?
Saya ingin menasihatkan kepada semua kaum keluarga dan teman-teman supaya berhati-hati ketika membuat perjanjian bertulis.
Jika kita lihat, kebanyakan pembeli tidak bertanya tentang pembayaran yang tidak terduga atau meminta surat perjanjian apabila mereka memembeli kereta baru.
Kita harus tahu jika ada lagi pembayaran lain, dan perjanjian perlengkapan itu juga haruslah perjanjian bertulis. Kita juga harus ada satu salinan surat perjanjian agar tidak ada salah faham pada belakang hari.
Apa yang sering terjadi, kebanyakan pembeli terpedaya dengan harga yang murah.
Harga kereta tidak banyak perbezaan antara satu bilik pameran dengan yang lain.
Jika harga yang dipromosikan rendah kita harus bertanya dan berhati-hati supaya kita tidak membuat keputusan yang kurang tepat.
Apa yang paling baik untuk kita agar tidak membuat keputusan yang kurang tepat ialah kita harus bertanya sekurangkurangnya di tiga bilik pameran kerana semua bilik pameran ada cara tersendiri untuk menjual dan mempunyai berbagai-bagai cara promosi mereka tersendiri.
Apabila kita sudah bertanya kepada tiga bilik pameran barulah kita boleh membandingkan yang mana satu yang terbaik untuk kita dan semua ini haruslah kita catatkan supaya memudahkan kita membuat perbandingan kelak. Sebaik-baiknya bawalah teman atau kaum keluarga yang boleh berbincang.
Mengapa perjanjian bertulis itu penting?
Ia akan menolong kita apabila kita menghadapi masalah kelak kerana apa yang ditulis tidak boleh diperdebatkan dan dipertikaikan dan akan menjadi bukti.
Pembeli harus berhati-hati dan jangan terpedaya dengan janji-janji manis yang tidak bertulis. Jangan cepat membuat keputusan kerana selalunya kita tersalah dek terburu-buru.
Berhati-hati selalu, kita akan selamat.
Oleh Mohamed Taifoor Mohamed
dipetik dari cyberita online singapura