KEMENTERIAN Ehwal Luar (MFA) semalam menjelaskan Singapura tidak mengambil pendirian baru berhubung pulau Pedra Branca apabila Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Dr Balaji Sadasivan, menjawab soalan Anggota Parlimen di Parlimen baru-baru ini.
Jurucakap MFA dalam satu kenyataan semalam berkata: 'Singapura pertama kali menyatakan tentang tuntutan terhadap sempadan wilayah laut sehingga maksimum 12 batu (19 km) nautika dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dalam satu kenyataan akhbar MFA pada 15 September 1980.
'Ini ditegaskan sekali lagi dalam satu lagi kenyataan akhbar MFA pada 23 Mei 2008 menyusuli keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai hak kedaulatan atas Pedra Branca and Middle Rocks.'
Menyusuli kenyataan Dr Balaji itu, Malaysia mempersoal tindakan Singapura dengan mendakwa bahawa Singapura mengumumkan tuntutannya terhadap kawasan perairan wilayah dan EEZ di sekitar Pedra Branca tanpa berbincang dengan Kuala Lumpur terlebih dahulu.
MFA berkata seperti yang dinyata dalam dua kenyataan akhbarnya itu, jika sempadan wilayah laut atau EEZ bertindih dengan tuntutan yang dibuat negara jiran, Singapura akan mengadakan rundingan dengan negara terbabit bagi mencapai persetujuan tentang penyempadanan semula kawasan itu berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Asean, Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, mencapai kata sepakat dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Rais Yatim, bahawa penyempadanan semula sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura di kawasan pulau Middle Rocks berikutan keputusan ICJ itu akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama berdasarkan undang-undang antarabangsa.
dipetik dari cyberita online singapura